Press to Podium: Apabila Semangat Formula Bertemu Kreativiti DTF
Published: 09 October 2026
By Raja Arfariezan
Kuala Lumpur, 9 Oktober 2026 – Lampu hijau sudah menyala, dan Press to Podium DTF Workshop selamat melepasi garisan penamat! Hasil kerjasama Puncak Design Studios (PDS) dan RIUH, bengkel dua hari ini berlangsung di Raintree Plaza @ TRX, Kuala Lumpur dari 3 sehingga 4 Oktober 2026 bersempena dengan acara RIUH PITSTOP.
Dari Grid Permulaan ke Garisan Penamat
Bertemakan dunia lumba Formula 1 (F1), bengkel ini dibuka khas untuk peminat F1 dan sesiapa yang ingin menghasilkan rekaan sendiri. Antara jam 4:30 petang hingga 8:30 malam, ruang RIUH PITSTOP bertukar menjadi “pit lane” kreatif yang penuh dengan peserta, idea dan tenaga.
Belajar Cetakan DTF Secara Hands-On
Di bawah bimbingan pasukan PDS, para peserta diperkenalkan kepada teknik cetakan Direct-to-Film (DTF), iaitu kaedah cetakan yang popular kerana warnanya tajam dan hasilnya tahan lama. Peserta tidak sekadar menonton, mereka diberikan ruang dan peluang untuk mencuba sendiri setiap langkah, daripada mencetak pada filem hingga memindahkannya ke kain menggunakan mesin heat press.
Setiap peserta pulang dengan T-shirt percuma yang dihias dengan rekaan sendiri.
“Sangat puas hati, sangat seronok dan aktiviti ini buat saya lebih tertarik dengan dunia percetakan.” Ujar Nur Syafiqah binti Rosli yang merupakan salah seorang peserta terawal yang mencuba aktiviti ini.
Lebih Daripada Sekadar Bengkel
Menurut pasukan PDS, matlamat bengkel ini adalah untuk membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk mencipta sesuatu yang bermakna.
Dalam satu temubual ringkas, pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif PDS, Ahmad Aizat Zakwan bin Mahadhir, menjelaskan bahawa bengkel ini lahir daripada satu hasrat yang lebih besar.
“Ini merupakan inisiatif kecil kami dalam usaha untuk memberikan lebih banyak pendedahan kepada masyarakat khususnya untuk generasi baharu agar lebih terdedah dengan kerja-kerja percetakan dan menghentikan stereotaip yang mengatakan percetakan adalah sesuatu yang membosankan,” katanya.
Suasana sepanjang dua hari itu meriah, dengan kira-kira 50 peserta hadir dan ramai yang pulang dengan wajah ceria bersama hasil tangan masing-masing.
Terima Kasih
Setinggi penghargaan daripada PDS kepada RIUH atas kerjasama dan sokongan, kepada pihak Raintree Plaza @ TRX yang menjadi tuan rumah, dan yang paling penting, kepada semua peserta yang hadir bersama semangat juara.
Jumpa Lagi di Perlumbaan Seterusnya
Press to Podium mungkin sudah tamat, tetapi perjalanan kreatif kami belum berhenti. Ikuti @puncakdesignstudios untuk mengetahui bengkel dan acara seterusnya.
Be a champion and vibe with us!